Program Sumbangan Kotak Barakah merupakan program yang disasarkan kepada Bakal Haji yang memerlukan. Ia bertujuan untuk meringankan bebanan terhadap keluarga Bakal Haji terpilih dalam menampung keperluan harian khususnya bagi barangan makanan asas keluarga. Kotak Barakah tersebut mengandungi pelbagai keperluan asas seperti beras, minyak masak, susu krim, sardin, tepung, gula, bihun, serbuk teh, milo dan kopi yang akan dibungkus dalam bekas kotak yang diperbuat daripada plastik.
Program ini melibatkan 20 pejabat TH Cawangan seluruh Malaysia dengan kerjasama daripada Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. bagi membekalkan barangan keperluan tersebut. Setiap pejabat TH Cawangan akan menyerahkan sumbangan Kotak Barakah ini kepada 10 orang Bakal Haji yang memenuhi kriteria seperti warga emas dan menetap di kawasan luar Bandar. Sumbangan ini akan diserahkan oleh Pengurus TH Cawangan yang terlibat kepada penerima.